Saturday, October 17, 2009

Tidur dan Teater Kekanak


Biarkan kekanak berehat apabila dia nak berehat. Rehat dan main kekanak akan menjelmakan ilham di luar kemampuan jurulatih dan pengarah.

Kekanak dan Naskhah


Usah langkau utk beri skrip kpd kekanak walaupun dia masih belum boleh membaca. Kita perlu menghargai rasa ingin memiliki dan menerima penghargaan kita kpdnya. Hari ini dia buta huruf tetapi hati dan ingatan tak pernah buta.

Monday, August 10, 2009

Jalan-jalan Di Putrajaya

Pelbagai niat dan ragam manusia dan unggas ke Putrajaya.
Setiap makhluk Allah ada sudut pandangan tersendiri.
dan saya...
Ketika singgah ke percint 8, 9 dan 16 saya jadi terbungkam.
Seperti berada di negeri lain walaupun masyarakatnya berwajah peramah,
berpakaian sopan, murah makan minum di gerai-gerai (kecuali di Alamanda),
murah sewa dewan, setiap pusat kegiatan masyarakat begitu bersih,
ada kolam untuk anak-anak, malah banyak kemudahan.
andainya semua bandar baharu di malaysia seperti di putrajaya
tentunya kita atau pelancong akan berasa selesa dengan kebersihan,
keramahan dan pelbagai keistimewaan lain.
tentunya anak cucu kita tidak terhutang dengan kita sekira
seni bina rumah dan halaman memiliki ciri-ciri melayu dan malaysia.
10082009

Tuesday, July 14, 2009

politik dan parti malaysia

salam sejahtera.
Cuba kita rujuk arkib akhbar kita hingga lani berapa hari yang tiada berita politik?
Cuba kita singgah secawan kopi di kedai-kedai kopi, meja mana yang tak kacau hirup hal politik?
Cuba kita lengguk-lengguk ke langit, di mana kita tak ada bendera parti politik?
Cuba kita tanya berapa catatan, cawan kopi dan bendera parti buat kita lebih bijaksana?
Cuba kita bertanya kita, adakah kita bangga dengan semua ini?

Saturday, June 13, 2009

Cinta Tanah Air Saya (i)

2009 Jun 13. Sabtu

Saya tinggal di perumahan yang sepagar dengan MPAJ. 10 pintu sederet dengan rumah saya. Hanya 4 pintu sahaja keluarga Melayu.
Lani saya suka peluhkan masa saya di tebing Sungai Kerayong di belakang rumah. Tak perlu jogging atau pergi ke GYM. Saya boleh bermandikan peluh dengan berkebun. Nilai kemanusiaan memuncak apabila berbakti kepada tanah. Saya kasihan kepada pekerja yang dikontrakkan memesinkan rumput sepanjang sungai di belakang deretan rumah kami. Sudah banyak kali mereka gagal memotong lalang-lalang yang lebih tinggi daripada saya. Mesin mereka jadi tumpul setiap kali ketamkan cantik tebing sungai sepanjang bahagian MPAJ.
Saya tidak peduli dengan bisikan, apa guna bersihkan di bahagian belakang rumah orang dan membuat kerja orang lain tanpa upah, tanpa rasuah, tanpa izin. Jawab saya mudah sahaja: Ini tanah air saya.
Saya tak akan bakar lalang-lalang itu. Semalam seorang pekerja datang menegur kerana saya menambahkan jerebu di musim jerebu lani. Memang patut dia menegur kerana asap bergumpal-gumpal ke MPAJ.
Tiap kali hujan lebat akan berarak sampah-sarap sepanjang sungai Kerayong. . Ia bertambah busuk apabila bercampur dengan loji air kumbahan di seberang yang dilepaskan sesuka hati.
Lani saya sedang mencari akal untuk bersihkan Sungai Kerayong. Sebab, sungai ini juga urat tanah air saya.

Friday, June 12, 2009

Pada Tunas Teater Kanak-kanak

PADA TUNAS TEATER KANAK-KANAK
Ladin Nuawi


Sejak diperkenalkan Dasar Ekonomi Baru dan Rancangan Malaysia Pertama, sejarah teater Malaysia menghasilkan purata dua tiga buah teater kanak-kanak setiap tahun

Sejarah seni Malaysia tidak pernah mengutamakan bidang pengurusan


Dengan sepintas lalu kita mudah memahami bagaimana teater kanak-kanak Malaysia menunas dan membesar; apa ancamannya yang sebenar. Inilah hakikat yang harus kita terima dan halusi kerana ianya saling kait-mengait.
Mereka yang terlibat dengan teater kanak-kanak masih ditahap semi-amatur dan amatur sahaja. Belum ada yang betul-betul semi-pro.
Umumnya pada pementasan terbuka terdapat pengarah teater kanak-kanak yang terdiri daripada ahli ilmu akdemik, bidan terjun, dan berasaskan pengalaman.
Setahu saya hingga sekarang masih belum terdapat yang betul-betul memiliki ilmu akademik yang khusus di dalam teater kanak-kanak. Jika adapun hanya ahli akademik berijazah teater. Untuk masa ini saya kira itu sudah memadai.
Dengan ilmu akademik itu membolehkan pementasannya menjadi baik. Mereka lebih akur dan arif dengan hukum-hakam. Cara ini dapat menyelamatkan daripada menjadi cacamarba.
Selain itu terdapat juga bidan terjun. Dia mungkin sahaja terpilih menggantikan tempat orang lain ataupun diarah. Orang ini mungkin pernah ada pengalaman, ilmu atau wibawa yang tersendiri.
Yang kerap kita temui adalah yang berasaskan pengalaman hasil penglibatan dengan penerbitan sebelumnya. Sejenis lagi hanya mempunyai pengalaman teater umum tetapi tidak pernah mempunyai rekod asas teater kanak-kanak. Ini jenis saya.
Pelakonnya mungkin sahaja terdiri daripada kanak-kanak, gabungan kanak-kanak dan remaja, gabungan kanak-kanak, remaja dan orang dewasa, atau oleh dewasa sahaja. Hingga sekarang masih sukar untuk dapat menonton teater kanak-kanak yang hanya dilakonkan oleh kanak-kanak usia 12 tahun ke bawah.
Jumlah dan mutu naskhahnya masih belum memuaskan. Jika ada pun sukar untuk melengkapi pementasan antara 60 hingga 90 minit. Pada mutunya masih dicari keserasian dengan keadaan semasa yang melibatkan perkembangan zaman dan kanak-kanak. Mutu ini pula dikaitkan pula dengan soal isu/mesej/cerita. Sama ada ia ringan, berat, ringan yang diberatkan, dan berat yang diringankan.
Akan berjela-jela jika dibahaskan nilai ‘ringan’ dan ‘berat’ di sini. Yang boleh mudah dipersetujui bersama supaya ianya jangan bercangah dengan kemurnian, kemampuan dan daya fikir kanak-kanak sebagai peserta atau penonton. Pun masih ada sebuah dua penerbitannya tergelincir daripada piawaan ini.
Penerbitan teater kanak-kanak adakalanya kerana musim, iaitu setelah ada peruntukan, arahan, kalendar tahunan atau ilham tiba-tiba oleh mana-man pihak. Sekiranya musim dapat mencambahkan tunas-tunas yang terus merimbun tentu ianya akan membawa kepada kebaikan. Sekiranya musim itu semusim dua maka akan berkekalanlah musim yng sedia ada.
Sejak diperkenalkan Dasar Ekonomi Baru dan Rancangan Malaysia Pertama, sejarah teater Malaysia menghasilkan purata dua tiga buah teater kanak-kanak setiap tahun untuk pementasan umum. Ianya tidak seimbang dengan jumlah kependudukan kanak-kanak yang lebih ramai daripada orang dewasa, permintaan tinggi, yang berkelayakan, dan pihak yang dipertanggungjawabkan.
Seperti hampir keseluruhan bidang seni budaya negara, kelemahan terbesar dalam teater kanak-kanak ialah pengurusan. Boleh dikatakan hampir semua yang terlibat rabun pengurusan. Mereka yang terlibat di bahagian pengurusan dan pengarahan hampir orang sama. Tanpa pengurusan yang cekap (campur dengan bersih dan amanah) tidak memungkinkan kemajuan dicapai.
Untuk mengelak hidung terus berkematu saya melatih diri mencari orang yang sedia berjuang di bahagian pengurusan. Kalau ada yang bertanya khabar dan menunjuk minat maka saya akan ajukan hal pengurusan. Malangnya hingga ke saat ini saya tetap sukar menemuinya. Sedihnya walhasil balik asal.
Jika ada, untuk mengekalkan mereka juga sukar. Pulangan yang diterima tidak berbaloi dengan kemahiran, kepenatan dan masa mereka. Tanyalah yang terlibat adakah mereka tidak serik? Berapa orang di kalangan mereka terus kekal dengan kerja teater?
Saya juga percaya ia berkaitan dengan sejarah pendidikan kita yang mengasingkan antara seni dan ilmu pengurusan. Sejarah seni Malaysia tidak pernah mengutamakan bidang pengurusan melalui bengkel atau kuliah. Yang terbanyak diadakan ialah bengkel lakonan. Sebab itu orang kata orang seni hanya alat, mudah kena kencing serta lubuk orang lain buat duit (halal/haram). Orang seni sendiri tahu hal ini tapi semua buat bodoh.
Penyebab sampingan ialah berkaitan dengan jadual persekolahan. Purata peserta teater kanak-kanak terdiri daripada pelajar. Apabila berlaku pertindihan tarikh pementasan dengan musim ujian maka kanak-kanak itu perlu utamakan ujian dahulu.
Walaupun tiada pertindahan, di Kuala Lumpur khususnya, tempat pementasan pula selalunya menjadi masalah utama. Minggu-minggu yang sesuai tidak semestinya dapat diisi untuk pementasan teater kanak-kanak kerana telah diisi oleh pihak lain. Tanyalah pihak pengurusan Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia, mereka sentiasa pening untuk mewajarkan keadaan ini.
Di Kuala Lumpur hingga ke saat ini tempat yang baik juga untuk pementasan teater kanak-kanak ialah Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Istana Budaya kerana memiliki ciri-ciri keselamatan yang sesuai untuk kanak-kanak. Namun begitu tempat itu ada syarat-syarat tertentu mesti dipenuhi.
Tempoh latihan teater kanak-kanak lebih panjang daripada teater umum. Kanak-kanak yang terlibat hanya mampu menyertai latihan pada hari cuti umum dan cuti persekolahan sahaja. Puratanya dua kali seminggu. Jika persiapan pementasan memerlukan latihan sebanyk 60 kali kali ertinya tempoh latihan itu memakan masa lebih kurang enam bulan.
Tempoh enam bulan itu menjadi persoalan besar pula kepada pihak pengurusan dan pengarahan. Dengan bahasa yang mudah mereka tiada cuti pada hari cuti sepanjang tempoh itu. Begitu juga dengan ibu bapa peserta kanak-kanak. Selama itu juga mereka memerlukan kekuatan jiwa dan jasmani kerana setiap hari otak mereka disumbat dengan ‘teater kanak-kanak… teater kanak-kanak…’.
Walaupun tempoh itu berakhir, tugas pihak pengurusan masih makan bulan. Mereka perlu uruskan laporan dan menunggu dana durian runtuh untuk diagih-agihkan kepada yang terlibat. Selalunya duri yang runtuh.
Lama mana tempoh tambahan ini akan berakhir? Ia bergantung pada kesediaan masa pihak yang menjanjikan dana. Semua ini menyebabkan belanjawan pengurusan makin bertambah.
Agak tidak adil tanggungan bahagian pengurusan hendak dibebankan juga kepada petugas. Kebanyakan daripada mereka bukannya mempunyai pendapatan tetap. Kalau adapun, hargailah penat lelah mereka.
Apa sangat pihak semacam saya di bahagian pengurusan yang hidup sepenuh masa dengan seni mampu atasi kepenatan pasukan kerja? Paling mampu yang boleh dibuat ialah dengan mengagih-agihkan hasil jualan tiket pementasan. Kaya mana sangat satu-satu persatuan atau individu itu untuk mengeluarkan biaya sendiri? Sekali seumur hidup mungkin mampu.
Dengan ini bererti soal belanjawan juga punca teater kanak-kanak kita mundur. Selain untuk set, kostum, prop, dan tatarias, perkara asas yang wajib belanja hangus ialah peruntukan untuk muzik dan lagu yang berperanan sebagai pelengkap pementasan teater kanak-kanak. Untuk mendapat tenaga pemuzik termasuk dengan pengubah dan guru vokal tetap memerlukan belanja yang besar.
Dari itu kita tidak wajar tunding mereka yang berkebolehan itu tidak ada semangat juang, tidak berjiwa kenegaraan ataupun tidak pihatin. Mereka perlu hidup. Mereka ada periuk nasi sendiri yang mesti diutamakan. Mereka sedia berkorban sekali seumur hidup pun sudah memadai. Dikira penat lelah enam bulan itu sebagai sumbangan ehsan mereka. Takkan sentiasa mahu mereka berkorban dan terus terkorban sepanjang masa. Nanti dituduh pula pihak tertentu tidak berhati-perut dan tidak ada wawasan.
Yang menambah kekusutan pada perkara yang disinggung di atas ialah sikap dan pemikiran kita sendiri. Berapa orang daripada kita berjujur dengan diri sendiri untuk tidak mengamalkan ungkapan negatif: ‘budak-budak’, ‘budak-budak apa tahu’, ‘budak mentah’, ‘hal budak-budak boleh tangguh’, ‘macam budak-budak’, dan ‘memperbudak-budakkan’?
Akan sia-sialah segala rancangan dan perlaksanaan semua pihak, khususnya kementerian untuk menjadikan kenyataan ungkapan suci ‘melentur buluh dari rebung’, ‘kanak-kanak adalah kain putih’, ‘pewaris negara’ dan ‘pelapis pemimpin’ melalui teater kanak-kanak.
Dalam negara yang mengamalkan nilai-nilai murni ini tidak ada alasan untuk membiarkan lagi teater kanak-kanak kekal mundur. Tidak ada orang berfikiran waras mengatakan teater kanak-kanak hatta kesenian kanak-kanak tidak penting untuk pembangunan dari apa sudut sekalipun.